Terdapat juga di kalangan umat Islam yang menegaskan bahawa perkataan Allah itu milik eksklusif untuk umat Islam sahaja dan tidak boleh digunapakai oleh agama lain. Persoalan yang ingin saya ajukan di sisni ialah; perkataan God yang sering digunakan untuk menterjemah perkataan Allah dalam Bahasa Inggeris itu milik siapa? Umum sedia maklum bahawa perkataan God merupakan perkataan yang digunapakai secara akademik dan diiktiraf untuk menterjemah perkataan Allah. Adakah ianya milik eksklusif umat Kristian kerana Bible yang dahulu menggunakan perkataan god untuk merujuk kepada tuhan mereka? Atau sebenarnya perkatan God ini adalah untuk agama-agama lain? Jika benar ia milik mereka iaitu umat Kristian atau umat yang lain, penggunaan perkataan God dalam penterjemahan perkataan Allah adalah lebih tercemar dan merosakkan Aqidah umat Islam kerana merujukkan kepada tuhan lain. Seharusnya kita, umat Islam lebih mengambil berat kepada masalah umat Islam bukan kepada umat Kristian bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan kepercayaan. Tetapi, jika perkataan God ini adalah satu perkataan yang universal dan boleh digunakan dalam mana-mana agama, kita sebagai umat Islam juga perlu berhati-hati dalam penggunaannya kerana boleh menjerumuskan kita kepada religious pluralisme. Satu lagi pertanyaan yang boleh diutarakan ialah bagaimana pula Bible yang telah diterjemakan ke dalam Bahasa Arab? Adakah mereka menggunakan perkataan god atau Allah atau selain daripadanya? Untuk pengetahuan umum, Bible dalam Bahasa Arab mengunakan perkataan Allah bagi menggantikan perkataan god. Jadi mengapakah kita perlu mengatakan perkataan Allah itu istimewa untuk kita, umat Islam di Malaysia?
Hujjah yang mungkin boleh diterima tentang larangan punggunaan kalimah Allah dalam Bible adalah untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan orang Islam. Jika penghujahan ini digunakan, maka kita umat Islam mungkin perlu melarang umat Islam membeli Bible kecuali mereka yang sedang belajar di peringkat tinggi. Tetapi, hakikatnya berapa ramai orang Islam yang membaca Bible? Dan berapa ramai pula yang pergi ke kedai buku untuk membeli Bible? Berapa banyak pula kedai-kedai buku yang menjual Bible? Berdasarkan pemerhatian saya tidak ramai di kalangan umat Islam yang membaca Bible dan kedai buku di Malaysia yang menjual Bible. Kitab suci kita Quran pun masih belum habis dibaca dan fahami, inikan pula untuk membaca Bible! Seandainya penulisan Bible dalam Bahasa Melayu dan punggunaan kalimah Allah mampu memesongkan Aqidah umat Islam, cara yang paling berkesan untuk mengatasinya adalah dengan menguatkan Aqidah itu sendiri dan kepercayaan terhadap Allah dan keyakinan kita pada Islam. Jika Aqidah dan kepercayaan kita terhadap Allah kukuh dan kita memahami konsep ketuhanan yang sebenar dalam Islam maka, kita akan mampu membezakan konotasi Allah dalam Bible dan apa yang difahami dalam Islam dan al-Quran. Perbezaan keduanya adalah sangat nyata dan jelas. Walaubagaimanapun, penguatkuasaan larangan terhadap penggunaan kalimah Allah dalam Bible juga boleh dianggap sebagai langkah pencegahan yang berkesan jika ianya tidak menimbulkan rasa tidak pua hati umat Kristian.
Saya lebih suka jika kita memahamkan dan menguatkan Aqidah umat Islam dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Pengajaran tentang ilmu Tauhid dan Islam juga perlu lebih mudah dan praktikal agar mudah difahami. Kita juga perlu menggalakkan umat Islam untuk memahami dan memepelajari tentang kepercayaan agama lain, selain daripada agama Islam. Pembelajaran tentang agama lain akan mematangkan seseorang dari segi tindakan dan pemikiran terutama dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Ini kerana hanya umat Islam sahaja yang tidak mepelajari tentang perbandingan agama manakala penganut agama lain di Malaysia seperti Kristian, Hindhu, Buddha dan lain-lain mempelajarinya dalam mata pelajaran Pengajian Moral di IPTA atau IPTS. Oleh sebab itu juga, jika bercerita tentang agama, Muslim adalah golongan yang paling lemah dan kurang peka tentang kepercayan agama lain serta kebudyaannya. Sesi dialog perbincangan sama ada secara tertutup atau terbuka juga boleh membantu masyarakat mendalami tentang kepercayaan agama lain dalam usaha kita membudayakan ilmu. Perbincangan tertututp dilaksanakan di kalangan mereka cerdik pandai kerana terdapat beberapa isu yang perlu dibincangkan secara rahsia kerana boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat. Keduanya, ialah sesi dialog secara terbuka untuk mendedahkan dan mengajar masayarkaat umum tentang perbezaan antara agama dan secara tidak langsung juga boleh mewujudkan suasana persafahaman harmoni antara penganut-penganut agama. Seharusnya kita sebagai umat Islam juga memeberi alternatif kepada umat Kristian untuk menggunakan perkataan lain dalam menterjemah perkataan God dalam bahasa Melayu. Penterjemahan perkataan God kepada perkataan Allah dalam bahasa Melayu sebenarnya adalah salah sama sekali kerana perkataan Allah itu adalah daripada perkataan Bahasa Arab. Oleh itu, perkataan tuhan adalah paling tepat unutk menterjemah perkataan god dalam Bahasa Melayu. Mereka juga boleh menggunakan perkataan God atau Tuhan yang eksklusifnya hanya kepada Kristian. Mungkin umat Kristian boleh menggunakan nama tuhan yang merujuk kepada nama tuhan dalam bahasa asal Bible iaitu bahasa Hebrew (the Holy Languange / the original language of the Bible) iaitu Elohim. Perkataan Bible juga ada pertalian dengan bahasa Greek. Lantas tidak keterlaluan jika mencadangakan umat Kristian agar mereka menggunaka perkatan Greek iaitu Logos untuk menterjemah perkataan Allah..


